TAIPING: Seorang lelaki warga Thailand mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping di sini, hari ini atas tuduhan menyeludup minyak petrol bersubsidi dari negara ini ke Thailand, Sabtu lalu.

Tertuduh, Napphon Abdulloh, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang berasal dari Betong itu didakwa telah meletakkan bahan api petrol ke dalam tangki kereta jenis Toyota Camry bagi maksud membawa barangan terbabit keluar dari Malaysia melalui darat melebihi kuantiti iaitu sebanyak 60 liter.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pos Jabatan Imigresen, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Berapit, Pengkalan Hulu sekitar jam 11.30 pagi, 17 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 5(a) peraturan sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan dibenarkan mahkamah dan kes disebut semula pada 25 Mac depan untuk serahan dokumen dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil.

Pada Ahad, media melaporkan KPDN Perak berjaya mematahkan cubaan seorang warga Thailand menyeludup minyak petrol RON95 ke negara jiran.

Pemeriksaan ke atas kereta bernombor plat Malaysia yang mahu menuju ke Betong, Thailand itu telah menemukan sebuah tangki tambahan pada bahagian belakang yang bersambung dengan tangki asal kenderaan tersebut.

Dianggarkan sebanyak 60 liter cecair yang disyaki minyak Petrol telah disita bersama kenderaan dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM5,123.